KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya semua masjid di negeri ini memperbanyakkan aktiviti tadarus Al-Quran secara beramai-ramai, sepanjang bulan Ramadan.
Baginda bertitah, ia bagi mengangkat kemuliaan bulan yang penuh keberkatan dan kenikmatan.
Titah baginda, aktiviti bertadarus beramai-ramai bukan sahaja mampu memberi semangat dan motivasi kepada umat Islam, malah mengeratkan silaturrahim sesama mereka.
“Ramadan juga dikenali sebagai bulan Al-Quran, kerana pada permulaannya diturunkan mukjizat teragung umat Islam.”
“Ia mengandungi pelbagai fadilat terhebat jika membacanya, apatah lagi ‘mentadabbur’ (menghayati dan merenung) kitab suci tersebut pada bulan Ramadan,” titah baginda dalam perutusan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada Khamis.
Selain itu Sultan Mizan turut menyeru kepada semua rakyat supaya membayar zakat kepada MAIDAM dan memperbanyakkan sedekah pada bulan ini.
Baginda bertitah pemberian zakat dan sedekah dapat melatih jiwa, supaya lebih prihatin dengan nasib saudara seagama yang mengalami kesusahan hidup.
“Beta menyeru semua rakyat supaya menunaikan zakat kepada MAIDAM melalui amil yang dilantik.”
“Mudah-mudahan zakat yang kita keluarkan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada asnaf yang berhak. Ia juga dapat memberikan sinar buat mereka dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadan,” titah baginda. – BERNAMA