Semasa

Pasca banjir, jumlah mangsa di Johor terus menurun

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor beransur pulih dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) terus menurun malam ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan setakat 8 malam ini jumlah mangsa di 119 PPS di tiga daerah negeri itu berkurang kepada 37,503 orang berbanding 38,456 orang petang tadi.

“Mangsa teramai adalah di Batu Pahat iaitu 37,114 orang, diikuti Muar (211), Segamat (154) dan Tangkak (24),” menurut kenyataan itu.

JPBN berkata dua sungai di Batu Pahat melepasi paras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok yang kini pada paras 19.39 meter (m) dan Sungai Senggarang di Senggarang dengan bacaan 3.62m, manakala Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar mencatatkan bacaan 3.33m.

Terkini, sukarelawan Southern Volunteers Muar bersama petugas Malaysian Relief Agency Johor telah bergotong-royong melaksanakan kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Mersing, Kluang, Batu Pahat, Segamat dan Pagoh.

Melalui kemaskini di facebook rasmi mereka, kumpulan yang terdiri daripada lebih 2,000 sukarelawan itu dilihat memulakan kerja-kerja bantuan kemanusiaan pasca banjir sejak seminggu lalu.

Terdahulu, banjir yang melanda Melaka dan Pahang sejak awal bulan ini pulih sepenuhnya.

BACA JUGA
Banjir Johor: Sri Medan lumpuh, MAPIM Mobile Kitchen digerakkan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button