Semasa

Skuad Musa’adah peruntukkan RM2.1 juta sumbangan misi banjir

PUTRAJAYA: Skuad Musa’adah Madani memperuntukkan RM2.1 juta hasil sumbangan Misi Bantuan Banjir bagi negeri-negeri yang terjejas banjir.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar, peruntukkan berkenaan merupakan hasil sumbangan daripada pelbagai agensi di bawahnya. 

“Bantuan yang akan diagihkan oleh Skuad Musa’adah Madani berupa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, toto, kit solat dan sebagainya.” kata Dr. Haji Mohd Na’im dalam ucapannya pagi tadi.

Beliau turut menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Madani bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan disaksikan semua ketua agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Sebanyak 15 buah kenderaan digerakkan menerusi misi bantuan ini selain 3 buah bas dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) termasuk bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM dan MAPIM Mobile Kitchen yang turut serta bagi menyediakan kemudahan klinik dan juga dapur bergerak.

“Saya mengharapkan agar semangat keprihatinan dan memberikan manfaat untuk mereka yang memerlukan ini sentiasa ada kerana apabila kita menolong mereka yang kesusahan, Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya yang membantu saudaranya yang dalam kesusahan,” kata Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im.

Tambahnya lagi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan penyumbang paling banyak iaitu sebanyak RM1 juta, diikuti dengan Tabung Musaadah (RM500,000), Tabung Haji (RM200,000) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebanyak RM162,400.

“Selain itu, Yayasan Taqwa MAIWP menyumbang RM100,000 diikuti dengan Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) masing-masing sumbang RM50,000 manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)  sumbang RM25,000” katanya lagi.

Misi bantuan ini akan digerakkan ke Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak yang terjejas dengan banjir yang teruk baru-baru ini dan ia akan bergerak. secara berperingkat bermula hari ini.

BACA JUGA
MAPIM Malaysia terima RM100,000 untuk misi bantuan banjir

 

Related Articles

Back to top button