UNITED NATIONS: Kira-kira 40 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa israel menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Pihak Berkuasa Palestin awal bulan ini.
Ia susulan desakan ke atas mahkamah tertinggi PBB yang mengeluarkan pendapat nasihat mengenai pendudukan israel.
Menerusi kenyataan, kira-kira 40 negara anggota mengesahkan ‘sokongan tidak berbelah bahagi’ kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan undang-undang antarabangsa.
Kenyataan sama turut menyatakan ‘kebimbangan mengenai keputusan israel mengenakan tindakan menghukum rakyat Palestin, kepemimpinan dan masyarakat awam susulan gesaan Perhimpunan Agung’ kepada mahkamah.
Some 40 countries on Monday called on Israel to lift sanctions it imposed on the Palestinian Authority earlier this month over its push to get the UN’s top court to issue an advisory opinion on the Israeli occupation. pic.twitter.com/mhP4tWxEOT
— PALESTINE SUNBIRD 🇵🇸 (@SBPal_Eng) January 17, 2023
“Tanpa menghiraukan pendirian setiap negara mengenai resolusi ini, kami menolak langkah punitif sebagai tindak balas terhadap permohonan mendapatkan pendapat nasihat ICJ dan secara lebih meluas sebagai tindak balas kepada resolusi Perhimpunan Agung, selain menggesa ia segera dibatalkan,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani negara yang mengundi untuk resolusi berkenaan antaranya Algeria, Argentina, Belgium, Ireland, Pakistan dan Afrika Selatan, termasuk yang menentangnya, Jerman dan Estonia.
Jepun, Perancis dan Korea Selatan pula mengambil langkah berkecuali.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, dalam kenyataan berkata, ia penting bagi menunjukkan negara anggota bersatu menolak langkah punitif itu tanpa mengira bentuk undian masing-masing.
Ditanya kenyataan ahli, jurucakap Setiausaha Agung PBB itu mengulangi ‘kebimbangan’ Antonio Guterres mengenai ‘tindakan israel terhadap Pihak Berkuasa Palestin, baru-baru ini’, selain menegaskan ‘tidak perlu ada tindakan balas’ berkaitan dengan ICJ.
Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Palestin dijadualkan pada Rabu, selain mesyuarat terdahulu selepas lawatan Menteri israel ke Masjid Al-Aqsa, menjurus kepada pertikaman lidah antara diplomat israel dan Palestin.
Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi meminta pendapat mengenai isu pendudukan israel di wilayah Palestin daripada ICJ pada 30 Disember lalu.
Sebagai tindakan balas, israel mengumumkan beberapa siri sekatan, termasuk kewangan terhadap Pihak Berkuasa Palestin bagi mendesak resolusi itu pada 6 Januari lalu. –AFP
BACA JUGA
Remaja 14 tahun ditembak di kepala di Tebing Barat