InspirasiSemasa

Rumah tenggelam banjir, wartawan tetap cekal bertugas

PASIR MAS: Demi melunaskan tanggungjawab yang digalas, wartawan Harakah, Siti Nur Ain Abdul Manaf tetap cekal bekerja melaporkan situasi banjir di Kelantan, meskipun beliau sendiri antara ribuan mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Siti Nur Ain, 27, berkata kediaman keluarganya di Kampung Repek, dinaiki air setinggi dua meter sejak Ahad lalu, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata banjir yang berlaku kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini apabila air meningkat naik dengan cepat dan deras.

“Saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan kesemua barangan, hanya mampu mengambil dokumen penting dan beberapa barangan keperluan sahaja”, katanya kepada Bernama.

Tetap menjalankan tugas menghantar laporan berita walaupun diri juga adalah mangsa banjir

Bertugas sebagai wartawan sejak empat tahun lepas, Siti Nur Ain berkata walaupun terkesan dengan situasi banjir, beliau menguatkan semangat demi meneruskan tugas.

Jika sebelum ini saya hanya melaporkan situasi masyarakat setempat yang ditimpa musibah banjir, tetapi kali ini tidak menyangka pula saya turut terkesan.

“Bagaimanapun, syukur melihat kepada situasi hari ini air di kawasan sekitar sudah mulai surut walaupun masih tidak boleh dimasuki. Saya juga berharap keadaan kembali pulih dengan segera supaya masyarakat dapat meneruskan hidup seperti sedia kala”, katanya.

Setakat 2 petang tadi seramai 26,573 mangsa daripada 8,231 keluarga masih ditempatkan di 96 PPS di seluruh Kelantan. – BERNAMA

BACA JUGA
Aktivis MAPIM bertindak segera bantu ummah di Bangi Lama

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button