
KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun di Kampung Apal, Jerteh dekat Besut ditemukan lemas hari ini.
Jasad mangsa bernama Nur Hilwa Idris Mohd. Haris Zaifan ditemui ahli keluarga terapung di dalam parit berhampiran rumah ibu saudaranya pada pukul 3:40 petang tadi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sewaktu kejadian, kanak-kanak perempuan itu berada di rumah ibu saudaranya yang terjejas banjir.

Jelas beliau, sebelum kejadian, ibu saudara mangsa sedang berkemas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam lebih kurang 3 petang.
“Dia tidak menyedari kanak-kanak tersebut dipercayai keluar melalui pintu dapur. Mangsa dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus banjir.”
“Kehilangannya hanya disedari kira-kira 40 minit kemudian. Orang kampung menjumpai jasad mangsa terapung di dalam parit berkenaan terletak kira-kira 20 meter dari rumah ibu saudaranya,” lapor Ketua Polis Terengganu itu dalam satu kenyataan.
Jasad mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau menambah, sewaktu kejadian kawasan rumah ibu saudara mangsa itu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.
“Saya menasihatkan ibu bapa dan penjaga lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka pada musim tengkujuh ini,” pesan beliau kepada semua.
BACA JUGA
Tanah runtuh: Korban ke-24 seorang kanak-kanak perempuan ditemukan