PASIR MAS: Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan akan melaksanakan ‘Program Komunikasi Tindakan Setempat’ di kawasan bencana seperti banjir dan penularan wabak denggi secara berkala mengikut kesesuaian.
Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata hal ini susulan 3 program yang dilaksanakan tahun ini mendapat respons positif masyarakat setempat yang terlibat.
“Antara pengisian program ialah warga JaPeN Kelantan bersama-sama masyarakat bergotong-royong membersihkan kawasan. Program ini memberi kesedaran mengenai pentingnya kebersihan dan kesihatan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Rumah Sejahtera Banggol Kulim, Rantau Panjang, di sini hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Zainudin Ismail yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JaPen Suwadi Guliling.
Mengulas mengenai program yang diadakan di Banggol Kulim itu, Muhd Nor Aswadi berkata selain aktiviti gotong-royong, JaPen Kelantan turut menghulurkan bantuan barangan keperluan harian kepada 20 penerima.
Hari ini kita turut santuni pelajar Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran dan Pengajian Islam Banggol Kulim serta warga emas Rumah Sejahtera Banggol Kulim, katanya.
Beliau berkata program hari ini turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pertubuhan Sanggar Suri Kelantan. – BERNAMA
BACA JUGA
Bebaskan Palestin berkumandang di Piala Dunia 2022