ISTANBUL: Polis Istanbul melaporkan pada Isnin, mereka telah menahan 46 orang berhubung serangan letupan bom di Istiklal Street di kawasan Dataran Taksim, termasuk seorang wanita Syria bernama Ahlam Albashir yang disyaki meletakkan bom berkenaan.
Dalam soal siasat awal, wanita itu mengakui dia dilatih oleh militan Kurdish di Syria dan memasuki Turki melalui wilayah Afrin di barat laut Syria, jelas polis.
🔴📸 #Türkiye– #Istanbul terror attack suspect, named Ahlam Albashir, acted on orders from YPG/PKK terrorist group’s base in #Syria’s Kobani/Ain Al-Arab city.#Beyoglu #Taksim https://t.co/JVY4ZFcrYj pic.twitter.com/wOOV46oFUf
— Mete Sohtaoğlu (@metesohtaoglu) November 14, 2022
Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu turut menyalahkan militan Kurdish dari Kobani atas serangan ke atas Istanbul.
“Kami telah menilai bahawa arahan untuk serangan itu datang dari Kobani.” jelasnya.
Kobani adalah sebuah bandar di utara Syria, di mana tentera Turki telah menjalankan operasi terhadap militan YPG Kurdish Syria sejak beberapa tahun lalu.
PKK, cabang Parti Pekerja Kurdistan telah disenaraikan di peringkat antarabangsa sebagai organisasi pengganas oleh Kementerian Luar Negeri Turki, Amerika Syarikat dan anggota Kesatuan Eropah yang lain, menurut laman web MFA negara itu. YPG adalah sayap PKK.
Letupan bom pada Ahad menyebabkan 4 maut di tempat kejadian dan 2 di hospital, menurut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Bercakap sebelum berlepas ke sidang kemuncak G-20 di Bali, Erdogan menyebut letupan itu sebagai “berbau keganasan“ dan berjanji kepada rakyat Turkiye bahawa pelakunya akan dihukum.
Kira-kira 81 orang cedera berikutan serangan itu. Lima puluh orang telah dibenarkan keluar dari hospital, mencetuskan kebimbangan mengenai rentetan pengeboman maut di Istanbul, sama seperti yang dilakukan oleh kumpulan Kurdish yang diharamkan antara 2015 dan 2017.