DuniaSemasa

Bangunan sebelah Burj Khalifa di Dubai terbakar

DUBAI: Sebuah bangunan kediaman pencakar langit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbakar pada Isnin.

Bangunan setinggi 35 tingkat itu merupakan sebahagian daripada kompleks menara dikenali sebagai 8 Boulevard Walk terletak berhampiran Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi di dunia.

Bangunan itu terbakar pada jam 2:20 pagi waktu tempatan.

Api merebak di bahagian tepi struktur bangunan tersebut didorong oleh bahan mudah terbakar.

Seorang penduduk memberitahu The Associated Press (AP), bangunan tinggi itu mempunyai bahan lapisan yang mana ia dirancang untuk digantikan selepas kebakaran sepertimana berlaku ketika malam Tahun Baru pada 2015.

Bagaimanapun ia tidak diganti, jelas penduduk itu kepada agensi berita tersebut.

Wakil pemaju syarikat Emaar dilihat melakukan tinjauan kesan kebakaran bangunan yang terletak di tengah Dubai sekitar Downtown

Pemaju bangunan itu enggan mengulas mengenai lapisan itu tetapi memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran berkenaan.

Jurucakap syarikat itu menambah, pihaknya mengesahkan kebakaran berlaku di 8 Boulevard Walk pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, api dapat dikawal dengan sokongan pihak berkuasa tempatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambah jurucakap itu, pihaknya memandang serius keselamatan penduduk dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat insiden berkenaan. -AP

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button