GAZA: Pada Oktober lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan ejen Mossad beroperasi di negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya aset Briged Hamas al-Qassam.
Laporan itu menyebut, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan 2 lelaki Palestin dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.
Aktivis kemanusiaan kelahiran Malaysia yang kini menetap di Semenanjung Gaza, Nadir Al-Nuri pada posting di media sosialnya turut memberikan reaksi tentang kaedah merekrut ejen oleh perisikan israel yang digunakan untuk memerangkap rakyat Palestin di sana untuk menjadi tali barut mereka.
“Kaedah ini meliputi dua proses, pertamanya proses memancing mangsa dan kedua proses mengeksploitasi penduduk yang telah masuk ke dalam perangkap,” jelas Nadir pada postingnya.Nadir turut menjelaskan modus kaedah memancing mangsa melalui perangkap pada laman-laman web untuk mencari pekerjaan, tawaran bantuan rawatan ahli keluarga yang sakit tenat dan kaedah tahan mangsa di sempadan malah ada yang diugut untuk menyertai ejen perisikan israel berkenaan.“Kau hanya maklumkan saja si fulan jam berapa dia keluar, jam berapa dia balik,” Nadir memberikan contoh arahan kepada mangsa. Bunyi macam arahan biasa-biasa tetapi setelah satu tempoh melaporkan pergerakan si fulan, mangsa akan dihubungi dan dimaklumkan bahawa dia telah bekerjasama dengan pihak musuh serta akan ditugaskan dengan perkara lebih besar.
Sebagai contoh, memaklumkan sama ada pemimpin yang menentang israel berada di rumah atau tidak pada waktu perang meletus. Sekiranya enggan untuk terus bekerjasama, israel akan memaklumkan bahawa segala perbualan mereka telah dirakam dan akan dihantar kepada pihak Palestin di mana hukuman sebagai pengkhianat sangat berat. Oleh itu, mangsa dan keluarga akan dilabel sebagai pengkhianat dan sebagainya.
Krisis ekonomi yang buruk di Palestin pula menjadikan anak muda khususnya tercari-cari peluang pekerjaan dan biasanya mereka mencari kerja melalui internet. Pihak musuh membangunkan laman web palsu dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk secara ‘online’, tanpa memaklumkan siapa mereka. Penduduk yang bersetuju untuk menerima pekerjaan akan melalui proses eksploitasi.
Peluang mendapatkan rawatan untuk pesakit kronik dan kritikal di Gaza perlu dilakukan di luar memandangkan kekurangan infrastruktur serta kepakaran di sana. Ia biasanya mengambil masa berbulan-bulan malah mungkin bertahun untuk mendapatkan angka giliran, keizinan untuk bermusafir ke tanah dijajah, kemudian proses musafir dan rawatan itu sendiri. Terdapat penduduk yang dihubungi dan ditawarkan ‘jalan pintas’ menyelamatkan nyawa orang tersayang dengan balasan khidmat ‘menjadi pembelot’ dan apabila bersetuju, penduduk ini juga mula dieksploitasi.
Sebuah sekolah di Gaza meraikan kejayaan pihak berkuasa Malaysia menyelamatkan seorang aktivis Palestin daripada ejen Mossad dan mendedahkan rangkaian jenayah mereka. pic.twitter.com/Pk0eII40vl
— Nu’man نعمان 🇲🇾🇵🇸 (@numanmazlan) October 22, 2022
“Dalam Islam pengkhianat agama dan negara hukumannya mati. Jadikanlah ia pengajaran kepada kita semua dan yakinlah bahawa musuh kita berada di mana-mana, tidak pernah tidur dan tidak pernah leka, pagi petang siang dan malam berusaha memecahkan kekuatan ummah dan memastikan Islam tak akan bangkit semula,” pesan Nadir pada posting berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah menjamin keselamatan negara masih di tahap terbaik dan rakyat tidak perlu bimbang, susulan dakwaan wujud ejen perisikan Israel, Mossad yang beroperasi di negara ini.
Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim turut menegaskan pihaknya sedang giat berusaha mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan Mossad dalam kes menculik rakyat Palestin di Kuala Lumpur yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam baru-baru ini.