Pilih pemimpin untuk teladan bukan kepuasan
Umat Islam dituntut memilih pemimpin yang berpegang teguh pada agama
Adalah menjadi kewajipan dalam kehidupan manusia untuk melantik salah seorang daripadanya menjadi khalifah atau ketua.
Waima, hidup berkeluarga juga perlu adanya tonggak utama iaitu ayah untuk menjadi teladan dan pembimbing isteri serta anak-anak.
Namun, tidak mudah untuk menjadi pemimpin. Meskipun, semua orang mampu untuk menjadi ketua tetapi tidak semuanya layak untuk dijadikan teladan seperti Rasulullah S.A.W, Umar Al-Khattab, Saidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain.
Seperti yang diungkapkan oleh para hukama, manusia itu akan mengikuti agama pemimpin mereka.
Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pemilihan pemimpin, lebih-lebih lagi yang melibatkan agama Islam.
Oleh itu, Islam telah menggariskan sifat utama yang perlu ada pada pemimpin, salah satunya adalah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam agar ia dapat memimpin kerajaannya sealiran dengan asas dakwah.
Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa ayat ke 4 :
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi WALI (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Apakah kamu ingin mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyiksamu)?”
Selain itu, seorang pemimpin hendaklah bersikap jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak.
Khalifah atau pemimpin itu seharusnya bersikap adil kepada rakyatnya ketika dalam menetapkan hukum, undang-undang negara dan keperluan rakyat.
Pemimpin adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”
-Imam al-Ghazali
Seterusnya, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mendahulukan rakyatnya berbanding dirinya sendiri.
Contohilah cara kepimpinan Saidina Umar yang sentiasa prihatin dengan kebajikan dan kemaslahatan rakyatnya. Sebagaimana, Saidina Umar turun ke jalan di Madinah serta kampung sekitar pada waktu malam hanya untuk melihat keadaan rakyat.
Usaha beliau dalam membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang sosioekonomi wajar dijadikan gerak kerja pemimpin kini.
Justeru itu, sebagai rakyat kita sewajarnya memilih pemimpin yang mempunyai contoh kepribadian serupa pemimpin-pemimpin Islam terdahulu.
Rasulullah S.A.W memperingatkan seorang pemimpin itu mestilah memimpin dengan telus kerana amanah yang dipikul itu amatlah berat. Bahkan, tidak akan masuk syurga pemimpin jika dia mengkhianati amanah tersebut.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Pemimpin yang menguasai urusan Muslimin, tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama-sama mereka.” (Riwayat Bukhari & Muslim)