Jika anda perasan, nenek atau atuk kita mereka sentiasa mulakan hari seawal jam 5 pagi.
Pelik bukan?
Tapi tahukah anda bangun awal ini banyak manfaatnya, jadi rugi kalau anda sia-siakan waktu pagi di atas katil.
Mood lebih stabil dan gembira
Bangun pagi sebenarnya dapat menjadi ‘booster’ untuk mood seseorang. Hal ini disebabkan oleh hormon koristol yang mula meningkat saat kita bangun pagi.
Malah, menurut pakar Biologi, Christoph Randler, individu yang bangun awal pagi akan lebih proaktif, gembira, positif dan teratur.
Tingkatkan konsentrasi
Kalau anda seorang yang sukar untuk menumpukan perhatian ketika melakukan sesuatu kerja, cuba atasinya dengan bangun awal.
Bangun awal dapat membantu anda untuk menjadi lebih teratur dan terurus, lantas, anda tidaklah kelam kabut nak rancang aktiviti seharian.
Dengan cara ini, anda akan menjadi lebih fokus untuk menyelesaikan sesuatu perkara kerana perancangan sudah pun dibuat lebih awal.
Lain pula, jika seseorang itu bangun lambat, individu seperti ini lebih cenderung untuk bermalasan dan tidak mempunyai motivasi untuk meneruskan aktiviti.
Badan lebih sihat dengan bersenam
Bila dah bangun awal, mestilah banyak masa nak lakukan apa-apa aktiviti.
Ini termasuklah, senaman pagi !
Tidak kisahlah, sama ada senaman ringan atau pun berat, asalkan anda keluar dan hirup udara pagi yang segar.
Berdasarkan kajian oleh Ketua Pegawai Sains di Majlis Senaman Amerika, San Diego, Dr. Cedric Bryant, individu yang bersenam pada waktu pagi secara konsisten akan cenderung untuk melakukan sesuatu perkara dengan baik.
Bukan itu sahaja, mereka yang bersenam pada waktu pagi akan lebih terdedah dengan Vitamin D hasil cahaya matahari yang baik untuk kulit dan tubuh badan.
Pintu rezeki terbuka luas
Tanpa kita sedar, Islam turut menggalakkan seseorang untuk bangun awal pagi kerana itulah masa yang terkandung banyak keberkatan.
Menurut Hadis Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar, Rasulullah S.A.W bersabda :
“Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkat dan keberuntungan.”
Dan sebaik-baiknya seseorang yang beragama Islam itu kerapkan mengamalkan qiamullail.
Sabda Rasullulah S.A.W:
“Hendaklah kamu melakukan qiamullail, kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamullail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.”
(Riwayat al-Tirmidzi dan al-Hakim)
Justeru, marilah kita sama-sama ubah gaya hidup dengan bangun awal pagi. Kelebihan bangun pagi ini bukan lagi mitos atau rekaan tetapi ia nyata berdasarkan kajian dan hadis sahih.
Tidak rugi untuk mencuba.
Tetapi kalau anda terpaksa untuk bekerja syif malam, sebaiknya, tidurlah selepas naik matahari (syuruk) kira-kira jam 9 pagi ke atas dan ambillah berkat waktu pagi itu.