Kurma adalah makan sihat pada setiap masa

Oleh : Khai – Wartawan Pelatih Ummah Today
Kurma akan memberi tenaga selepas seharian menahan lapar dan dahaga malah dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit.
Ia merupakan buah yang popular ketika menjelmanya bulan mulia, bulan Ramadan. Buah ini juga turut dinikmati oleh penduduk dunia yang lain kerana rasanya yang manis di samping manfaat kesihatan yang diperoleh daripada buah ini.
Tumbuhan ini ditanam meluas merentasi Asia Timur, Afrika Timur dan Timur Tengah. Ada juga yang ditanam kawasan tropika dan subtropika.
Buah kurma dikeluarkan besar-besaran di Timur Tengah dan Afrika Timur di mana penghasilannya sekitar 8.5 juta tan metrik setiap tahun. Terdapat beberapa jenis buah ini yang boleh didapati di Malaysia seperti Ajwa, Mabroom, Safawi, Sayer, Mazafati, Piarom, Kabkab, Zahidii dan Medjool.
Antara manfaat pengambilan kurma ialah :
1. Memberi tenaga segera. Buah ini mengandungi kandungan gula yang tinggi, mewakili 80 peratus daripada keseluruhan komposisi buah apabila sudah masak, dan membentuk 75 peratus daripada keseluruhan buah apabila dikeringkan.
Mereka yang inginkan tenaga sebelum memulakan rutin harian juga boleh menjadikannya sebagai sarapan. Pengambilan buah ini dapat memberikan karbohidrat dan gula yang terdapat di dalamnya dengan cepat, mudah dan lazat.
2. Mencegah kanser kerana mengandungi antioksidan. Mengikut kajian kurma jenis Khalas dikategorikan sebagai buah premium dan mengandungi kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding yang lain. Namun, keupayaan ini akan sedikit berkurangan jika buah tersebut dijemur di bawah matahari.
3. Sumber serat yang tinggi. Khasiat serat adalah meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat menghasilkan rasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah.
Secawan buah kurma mengandungi 11.8 gram serat. Ini sudah hampir mencukupi separuh daripada keseluruhan keperluan serat harian anda yang dicadangkan.
Kesimpulannya, buah kurma mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat yang baik untuk kesihatan kita. Daripada bekalan tenaga yang cepat, sumber serat dan mineral yang bagus, sehinggalah perlindungan daripada radikal bebas. Buah ini sejujurnya adalah buah yang patut menjadi sebahagian daripada diet harian anda.