Pemakaian pelitup muka di sekolah tidak lagi diwajibkan
PUTRAJAYA : Pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah tidak lagi diwajibkan berikutan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan perkara tersebut baru-baru ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bagaimanapun pemakaian pelitup muka tetap digalakkan meskipun pemakaiannya sama ada di dalam atau di luar bangunan sekolah tidak lagi diwajibkan.
“Ramai yang bertanya apakah ketetapan KPM berkaitan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah memandangkan esok sekolah-sekolah di negeri kumpulan A akan memulakan sesi persekolahan dan lusa adalah untuk negeri kumpulan B.
“Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan namun KPM menggalakkan pemakaiannya sewaktu berada di dalam kawasan sekolah khususnya di tempat yang ramai orang,” katanya dalam satu video yang dimuat naik ke laman media sosial hari ini.
Tambah beliau, pada masa sama, murid-murid yang pergi ke sekolah dengan menaiki bas diingatkan agar tetap memakai pelitup muka apabila berada di dalam bas sekolah.
“Apa yang penting adalah kita bersama-sama memastikan keadaan di sekolah selamat.
“Maklumat lanjut berkaitan pemakaian pelitup muka di sekolah ini akan disertakan dalam kenyataan media rasmi KPM yang akan dikeluarkan sebentar lagi,” tambahnya.