Semasa

Kerajaan sokong penuh Masjid Kampung Laut diwarta jadi Tapak Warisan Dunia UNESCO

KOTA BHARU : Langkah mewartakan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara serta Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerima sokongan penuh kerajaan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran yang dimuat naik di dalam Facebook rasminya menyifatkan langkah itu sebagai sangat signifikan.

“Saya amat gembira kerana hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Lama Kampung Laut ini menjadi kenyataan ibarat ‘sirih pulang ke gagang’ setelah 50 tahun.

“Sebanyak RM40 juta telah dibelanjakan bagi Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut,” menurut Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan projek pembinaan Jambatan Palekbang yang menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat bermula akhir tahun ini, mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik.

Beliau berkata jambatan tersebut akan menjadi pemangkin utama kepada Kelantan sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

Masjid Lama Kampung Laut ini merupakan antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara.

Sejarah Masjid Kampung Laut banyak terkait rapat dengan penyebaran dakwah di rantau ini pada abad ke-18 selain menjadi simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Kelantan ini.

Keseluruhan binaannya yang diperbuat daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku menjadi satu keunikan untuk Masjid Lama Kampung Laut ini selain kehalusan ukirannya yang menjadi tarikan utama pelancong.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button