Suami jadi maknyah dibiarkan isteri ? Ini pandangan Islam
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Ada kalanya manusia yang terdesak sanggup melakukan apa sahaja perkara yang boleh meringankan beban mereka. Namun harus ingat dalam Islam ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.
Dalam artikel ini penulis ingin berkongsi apakah hukum menjadi maknyah bagi seorang lelaki yang sudah berkahwin dan isterinya membenarkan perbuatan tersebut.
Berdasarkan kepada hukum yang diberikan oleh Mufti Wilayah mengatakan bahawa lelaki yang menyerupai perempuan dan sebaliknya adalah haram. Ia merupakan perbuatan salah yang mendapat dosa besar dan dimurkai oleh Allah SWT.
Manakala jika seseorang itu ada isteri dan membenarkan perbuatan tersebut maka isterinya juga telah melakukan perkara haram yang turut berdosa.
Isteri sewajarnya tidak boleh meredai dalam perkara maksiat dan perkara yang dilarang dalam Agama. Sewajarnya isteri menegur suaminya agar meninggalkan kemungkaran.
Menurut Ibnu Manzur tasyabbuh ialah suatu objek itu menyerupai atau menyamai dengan sesuatu yang lain. Manakala dari segi fiqh, tasyabbuh yang bermaksud penyerupaan dalam perkara-perkara seperti perhiasan, pakaian, percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan dan mengubah bentuk fizikal badan.
Hukum tasyabbuh adalah HARAM bahkan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas al-Quran dan Hadis bahawa Allah SWT melaknat orang yang melakukannya. Antara dalil – dalil pengharaman tasyabbuh adalah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”.
Dalil mengenai haram hukum bagi isteri meredai sesuatu perbuatan kufur dan maksiat yang dilakukan oleh suaminya adalah berdasarkan kepada mafatih al-Ghaib al-Tafsir al-Kabir yang maksudnya
“Reda dengan kekufuran adalah kufur seperti juga reda kepada fasiq adalah fasiq.”
Manakala Rasulullah SAW menyuruh agar kita mencegah perkara kufur dan maksiat bukan meredainya. Hal ini disebutkan dalam riwayat Muslim dan Ibnu Majah:
“Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat satu perkara mungkar maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu hendaklah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.
Jadi hendaklah lelaki yang berubah menjadi maknyah tersebut menjauhi perbuatan tersebut. Manakala isteri yang mengetahui perbuatan maksiat suaminya itu hendaklah mencegah perkara tersebut dan menasihatinya.