InspirasiSemasaSukan

Sadio Mane tolak pegang bir ketika Oktoberfest dapat pujian peminat

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today

MUNICH: Siapa yang tidak kenal dengan bintang Bayern Munich bernama Sadio Mane? Pemain asal Senegal ini sentiasa memberikan inspirasi kepada peminat bolasepak dunia.

Jika sebelum ini beliau tular kerana membantu membina hospital dan sekolah di Senegal. Terbaharu, Sadio Mane sekali lagi mendapat pujian masyarakat dunia apabila menolak untuk memegang bir ketika sesi ‘photoshoot’ Oktoberfest yang merupakan program tradisi kelab Bayern Munich.

Untuk rekod, bekas pemain sayap Liverpool itu adalah seorang pemain bolasepak beragama Islam. Disebabkan itulah beliau telah menolak untuk memegang botol minuman keras tersebut.

“Sebagai seorang Muslim yang taat, Sadio Mane memilih untuk tidak memegang bir sewaktu bergambar dalam acara tradisi Bayern Munich,” ciap ESPN FC di Twitter.

Walaupun dilihat berbeza berbanding rakan pasukannya yang lain, namun Mane berada di barisan paling hadapan pada hujung kanan gambar dengan berpakaian Lederhosen.

Tindakan Mane itu mendapat reaksi positif dan pujian daripada peminat di media sosial kerana beliau masih berpegang teguh dengan ajaran agamanya.

Selain Mane, seorang lagi pemain Bayern yang berpindah dari Ajax, Noussair Mazraoui juga memilih untuk bergambar tanpa memegang gelas minuman keras tersebut.

Imbas kembali, Mane sebelum ini juga pernah bertindak sedemikian apabila beliau meminta rakannya, Takumi Minamino untuk meletakkan sebotol Champagne pada awal tahun ini.

Sumber: Liverpool FC

Mane melakukan sedemikian sewaktu mereka meraikan kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Carabao, iaitu semasa Liverpool menentang Chelsea yang membawa keputusan seri 0-0.

Minamino yang menghormati permintaan rakannya itu segera meletakkan botol arak tersebut ketika meraikan kejayaan mereka selepas Liverpool menewaskan Chelsea menerusi sepakan penalti 11-10.

Dari sudut padang, perpindahan Mane dan Mazraoui memberi impak positif kepada Bayern Munich selepas pasukan itu mengutip 10 mata daripada empat perlawanan awal liga musim ini.

Kini pasukan gergasi Jerman itu berada di puncak carta Bundesliga, disusuli Union Berlin dengan 10 mata serta SC Freiburg, Hoffeinheim dan Borussia Dortmund yang masing-masing berkongsi sembilan mata.

Related Articles

Back to top button