KUCHING : Seorang lagi anak kapal platfom MV Dagang Topaz, meninggal dunia menjadikan seramai dua orang maut dalam kejadian kapal paltform merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram pada Selasa (27/10).
Perkara itu disahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
APMM, dalam kenyataannya berkata, kematian mangsa kedua hanya dapat disahkan pada jam 5.40 petang susulan kejadian itu pada jam 6.45 pagi semalam.
“Maklumat terkini oleh Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) di Putrajaya, kedua-dua mangsa diterbangkan ke Lapangan Terbang Miri menggunakan pesawat AW189 PETRONAS dan mendarat jam 5.40 petang tadi.”
Laporan awal menyebut seorang anak kapal yang terjun ke laut disahkan meninggal dunia manakala empat lagi hilang.
Bagaimanapun, empat yang dilaporkan hilang ditemukan selamat beberapa jam selepas itu berhampiran kawasan kejadian.
Mohd Zubil berkata, berdasarkan maklumat, kejadian disyaki berpunca daripada satu kabel sauh Dayang Topaz terputus ekoran cuaca buruk.
Menurut beliau, keadaan laut bergelora dan kapal berkenaan tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar platform pelantar minyak Beram B.
Katanya, MRCC Putrajaya bekerjasama dalam operasi menyelamat (SAR) membabitkan syarikat carigali minyak Petronas, Shell, Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) serta Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Brunei yang menugaskan pesawat Brunei Shell Petroleum termasuk komuniti nelayan tempatan.
“Aset lain yang terbabit terdiri daripada KM Siagut, KM Siakap dan Bot Penggalang 23 yang ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau,” katanya.
Ketika kejadian keadaan laut masih bergelora dengan ombak pada ketinggian 3.5 ke 4 meter.
Dalam perkembangan yang sama, memetik The Edge –Â Petronas dalam satu kenyataan berkata siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan.
Syarikat itu berkata pihak yang berkaitan dengan kejadian telah memberi maklumat.
“Perkara utama bagi kami adalah mereka yang terlibat dalam insiden ini. Pada masa yang sama kami akan terus memastikan penyaluran pembekalan gas asli tidak terjejas.”
“Petronas amat kesal dengan kejadian ini dan sedih terhadap apa yang terjadi kepada mangsa dan menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.”
Kapal platform MV Dayang Topaz dimiliki DESB Marine Services Sdn Bhd, sedang bertugas namun satu kabel sauh Dayang Topaz terputus ekoran cuaca buruk.
Keadaan laut bergelora dan kapal berkenaan tidak dapat dikawal lalu hanyut dan melanggar platform pelantar minyak Baram.