SELANGOR : Pagi ini sebahagian kawasan terjejas gangguan air di Selangor telah kembali mendapatkan bekalan air bersih.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Air Selangor, berkata sehingga jam 9:00 pagi, 162 kawasan telah mendapat air bersih semula, di kawasan Petaling, Klang dan Kuala Selangor.
Jumlah itu adalah 13% daripada seluruh 1,292 kawasan yang menerima gangguan.
Bagaimanapun gangguan demi gangguan air yang berlaku sejak kebelakangan ini di Selangor mengheret kebimbangan pihak Istana.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita baginda dengan keluhan dan nasib rakyat yang bukan sahaja terpaksa bergelut dengan wabak Covid-19.
Malah rakyat kata Baginda, kini berdepan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda sudah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air sejak tahun 2009.
Katanya, Sultan Selangor mahu supaya masalah air ini tidak dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah keperluan asas kehidupan rakyat.
“Dalam surat tersebut, baginda sudah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih tetapi nampaknya ia tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat yang baginda kasihi,” – Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang sudah mencapai jumlah tertinggi sejak bulan Mac lalu.
Datuk Muhamad Munir berkata, susulan perkembangan terbaharu ini, baginda menyeru rakyat supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tidak ingkar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).
- setakat 19 Okt 2010 (12:00t/hari) KKM
“Sultan Selangor amat menghargai usaha doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh- sungguh untuk memberi rawatan kepada pesakit Covid-19.
“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat yang masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP yang ditetapkan.
“Baginda secara spesifik turut menasihatkan rakyat supaya terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak dan hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam,” katanya.
Menurutnya lagi, Sultan Selangor turut meminta individu yang pernah berkunjung ke lokasi yang berisiko atau kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah, hendaklah melaporkan segera kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan masing-masing.
“Tegas baginda lagi, fokus ketika ini adalah untuk memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan dan seterusnya menghapuskan penularan wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.