Semasa

Ibu bapa luah rasa kecewa MRSM lambat bertindak kesan pelaku buli anak

KUANTAN : Ibu bapa kepada pelajar tingkatan dua menggesa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan bertindak segera mengesan pelaku dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang membuli anaknya.

Perkara itu didedahkan oleh Nazrah Mohamed menerusi satu hantaran di Facebook mengenai kes buli yang melibatkan anak perempuannya yang dikatakan bermula sejak Jun lalu dan berlarutan sehingga kini.

Nazrah menuntut kes sebegini ditangani segera dan mendakwa ia adalah satu kes jenayah kerana melibatkan sentuhan badan yang semakin menjadi-jadi di institusi tersebut.

“Saya masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius apabila anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism. Sebagai ibu bapa kami tidak boleh berdiam diri.

“Kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan sentuhan badan. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSM Kuantan tidak boleh diterima sama sekali!” soalnya dalam hantaran tersebut.

Dia menjelaskan, pihak MARA juga lambat bertindak dalam memberikan maklum balas walaupun aduan telah dibuat.

Sementara itu, Nazrah turut mengkongsikan kronologi kes melibatkan anaknya bermula pada 17 dan 19 Jun lalu, apabila pakaian seragam sekolah anaknya berwarna biru dijumpai di ampaian telah diconteng dan pakaian berwarna kuning diconteng di bahagian lengan.

“Pada 20 Jun, saya telah menelefon Ketua Warden untuk mendapatkan maklum balas kes tersebut malangnya Ketua Warden terkejut dan tidak mengetahui perkara tersebut.

“Setelah diteliti, pelajar senior mengakui mereka cuba menyelesaikan sendiri kes tersebut. Namun persoalannya, adakah membiarkan pelajar senior uruskan sendiri kes-kes serius seperti ini tanpa memaklumkan kepada warden merupakan prosedur MRSM?

“Saya menghubungi sekali lagi Ketua Warden selang dua hari selepas itu, namun dimaklumkan mereka masih tidak dapat mencari pelaku,” katanya.

Nazrah juga memaklumkan pada 26 Jun, pakaian seragam dan pakaian pendidikan jasmani anaknya telah diconteng. Dalam masa yang sama, anaknya turut mengesan dinding tandas juga diconteng dan semua perkara itu telah dimaklumkan kepada pelajar senior.

Menurutnya, susulan aduan itu anak perempuannya dipanggil oleh lima warden MSRM Kuantan dan dipaksa supaya mengaku bahawa semua perbuatan itu dilakukan olehnya.

Tambah Nazrah, anaknya adalah mangsa dan melaporkan semua kejadian kepada pelajar senior, namun ia berlaku sebaliknya apabila anaknya didakwa sebagai pelaku oleh pihak MRSM Kuantan.

“Pada 14 Julai, saya menghubungi TPPP untuk bertanyakan perkembangan kes-kes tersebut tetapi sebaliknya, saya dimaklumkan bahawa anak saya telah dirujuk kepada kaunselor sekolah dan mengalami anxiety dan mempunyai stres level tinggi berdasarkan perbualan anak saya bersama-sama kaunselor.

“Saya kemudian mengambil anak pulang ke rumah pada 15 Julai dan pada 17 Julai, saya telah membawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak untuk memastikan tahap kesihatan mentalnya.

“Berdasarkan klinikal temu bual, doktor menyatakan anak kami sihat dan tiada ciri-ciri anxiety, depresi dan stres seperti yang digambarkan oleh TPPP. Doktor juga mencadangkan agar anak kami menjalani ujian-ujian tertentu untuk mengesahkan tahap kesihatan mentalnya.

“Doktor juga mengambil kenyataan daripada anak saya dan perkara yang diceritakan oleh anak saya kepada doktor adalah konsisten sama seperti yang diceritakan kepada kami,” ujarnya.

Menurut Nazrah, berdasarkan keputusan tersebut, satu pertemuan telah dilakukan bersama pentadbir dan pengurusan MRSM Kuantan dan mereka akui terdapat kesilapan dari pihaknya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes tersebut sehingga anaknya dipersalahkan.

Namun katanya, kenyataan daripada pentadbir sekolah seperti pengetua, TPPP, warden dan kaunselor MSRM juga tidak konsisten berhubung kes itu.

“Pada 22 Julai, kami telah membuat laporan polis terhadap pihak maktab ke atas kes-kes yang berlaku melibatkan anak kami setelah tidak mendapat jalan penyelesaian semasa pertemuan dengan pihak pengurusan maktab.

“Kami telah memfailkan aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memandangkan Mara adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kami sangat kecewa dengan maklum balas itu kerana siasatan berat sebelah dan anak kami tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

“Maklum balas MARA juga berbeza dengan kenyataan Pengetua yang mana MARA memaklumkan pihak maktab telah mengikut prosedur yang betul tetapi pengetua mengakui kesilapan di pihak maktab ketika siasatan dijalankan,” katanya.

Nazrah memaklumkan sehingga Jumaat lalu anaknya masih dibuli apabila rambutnya bersama dua rakan biliknya digunting pendek ketika mereka tidur.

“Anak kami dan pelajar terlibat terus memaklumkan kepada senior dan senior seterusnya maklumkan kepada warden. Kami juga maklumkan perkara ini kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dan menasihatkan pihak maktab membuat laporan polis.

“Sehingga saat ini, kami masih menunggu perkembangan terkini dari pihak maktab dan pihak polis,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button