Adakah 9/10 rezeki datang daripada perniagaan?
Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih
Di Malaysia, hadis berkaitan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan sangat terkenal dan masyhur dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya ahli perniagaan atau usahawan.
Antara Hadis tersebut adalah:
عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة أعشار الرزق
Bermaksud: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”
تسعة أعشار الرزق في التجارة
Bermaksud: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”
Dua matan ini juga biasa kita dengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki. Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah S.A.W atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama’.
Artikel ini akan menjelaskan status hadis ini berdasarkan beberapa pendapat para ulama’ dalam menyatakan status hadis ini dengan merujuk Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk “Perniagaan Adalah Sumber Rezeki Terbesar”.
Pendapat para Ulama’ dalam menyatakan status hadis ini.
Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadis ini dhaif (lemah) di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh (صيغة التمريض) ketika menukilkan hadis ini. (al-Istizkar, 619/8)
Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadis ini di dalam ihya’ Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadis, hadis tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai).
Dikatakan bahawa Nu’aim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar. Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nu’aim adalah seorang tabi’i maka hadis tersebut adalah mursal (iaitu hadis yang gugurnya sahabat daripada sanad hadith tersebut). (al-Mughni: 419/1)
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, Dr Zulkifli al-Bakri juga cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadis di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut.
Walaupun hadis tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga adalah satu pekerjaan yang mulia kerana Rasulullah S.A.W terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda S.A.W dilantik menjadi rasul.
Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi S.A.W bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga.
Selain itu, Nabi S.A.W juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.
Bukan Rasulullah S.A.W sahaja yang menjadi ahli perniagaan, bahkan ramai di kalangan sahabat Baginda yang menjadi saudagar atau ahli perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi.
Jadi sebagai kesimpulan, kita tidak boleh nafikan bahawa perniagaan juga antara salah satu sumber rezeki yang terbesar tetapi kita tidak boleh memspesifikkan 9/10 daripada sumber rezeki datang dari perniagaan. Hal ini demikian kerana hadis yang dinyatakan di atas adalah mursal atau dhaif kerana sanadnya terputus.
Namun, terdapat hadis-hadis yang berkaitan kelebihan berniaga iaitu antaranya ialah:
التاجر الصدوق الأمين مع النبيين والصديقين والشهداء
Bermaksud: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”
Riwayat al-Tirmidzi (1209) Hadis ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmidzi
Selain itu sekiranya kita sudah menjadi ahli perniagaan, kita perlulah jujur dan Amanah dalam perniagaan. Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
إنَّ التُّجارَ يُبعثون يومَ القيامةِ فُجارًا؛ إلا من اتَّقى اللهَ، وبَرَّ وصدق .
Bermaksud: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.”
Riwayat al-Tirmidzi (1210) Hadis ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya.