PendidikanSemasa

Amthal (perumpamaan) dalam al-Quran

Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih

Bahasa Melayu terkenal dengan gaya bahasanya yang menarik dan istimewa, antaranya ialah peribahasa.

Maksud peribahasa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah ayat atau kelompok kata yang mem­punyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal dan pepatah. Perumpamaan atau persamaan merupakan jenis peribahasa.

Tahukah kita bahawa di dalam al-Quran juga terdapat ayat yang berbentuk perumpamaan iaitu Allah S.W.T mengumpamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain.

Ilmu ini juga disebut sebagai amthal (perumpamaan) dalam al-Quran.

Penulisan ini akan menerangkan konsep amthal dalam al-Quran dan contohnya menurut buku yang dikarang oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sukki Othman (Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia) bertajuk Perumpamaan Dalam Al-Quran yang ditulis pada 2018.

Konsep Amthal Dalam Al-Quran

Daripada Khalil Ahmad al-Farahidiy, menurut daripada pandangan beliau, definisi bagi perumpamaan ialah menjadikan sesuatu yang diumpamakan itu dibandingkan dengan sesuatu atau perkara yang lain dan menjadikan sesuatu yang lain itu diumpamakan kepadanya.

Menurut pendapat Abu Hilal al-Ashkariy pula, beliau telah menyatakan bahawa terdapat perbezaan diantara perkataan al-Mithl dan juga perkataan al-Mathal.

Bagi perkataan al-Mithl, ianya adalah sesuatu perkara yang sama pada zatnya manakala bagi perkataan al-Mathal pula, ianya adalah sifat bagi sesuatu perkara.

Firman Allah:

۞مَّثَلُ ٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي وُعِدَ ٱلۡمُتَّقُونَۖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ أُكُلُهَا دَآئِمٞ وَظِلُّهَاۚ تِلۡكَ عُقۡبَى ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْۚ وَّعُقۡبَى ٱلۡكَٰفِرِينَ ٱلنَّارُ٣٥

Bermaksud: “Perumpamaan syurga yang dijanjikan bagi orang yang bertaqwa (ialah seperti taman), mengalir di bawahnya sungai-sungai; sentiasa berbuah dan teduh. Itulah tempat kesudahan bagi orang yang bertakwa; sedang tempat kesudahan bagi orang yang ingkar kepada tuhan ialah neraka.”

Surah al-rad (35)

Dalam surah di atas, perkataan amthal syurga itu merujuk kepada sifat syurga. Hal ini membawa maksud bahawa sifat-sifat syurga itu hanyalah sesuai kepada orang-orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T sahaja.

Menurut pendapat ulama balaghah pula, Abu ‘Ubaydah Ma’mar al-Muthanna al-Taymi telah mendefinisikan bahawa amthal itu adalah al-Shabah (persamaan).

Ulama balaghah yang lain juga mengambil berat akan hal amthal ini dengan memperincikan bab amthal ini di dalam kitab-kitab amthal seperti yang dilakukan oleh Abu Uthman ‘Amr Bahr al-Jahiz di mana beliau telah mendefinisikan perkataan perumpamaan sebagai sesuatu yang disamakan dengan sesuatu di dalam kitabnya iaitu al-Hayawan.

Menurut daripada pandangan ulama tafsir pula, jumhur ulama tafsir menafsirkan perkataan amthal ini berpandukan kepada tafsiran ayat al-Quran itu sendiri.

Sebagai contoh, Imam al-Tabari menggunakan ayat dari surah Ankabut, surah al-Baqarah ayat 214 dan juga 26 sebagai al-Shabah (serupa) mengikut kesesuaian dan kehendak ayat al-Quran tersebut. Firman Allah:

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ٢١٤

Bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diuji (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”.

Surah al-Baqarah (214)

Selain itu, menurut ulama tafsir yang lain iaitu Al-Alusiy pula telah menyatakan di dalam kitabnya iaitu Ruh al-Ma‘ani bahawa perkataan perumpamaan pada asalnya bermaksud serupa sebanding dan setara.

Seterusnya beliau juga telah menggunakan perkataan itu di dalam percakapannya sama ada dalam berbentuk tasbih istikharah, kinayah, hikmah ataupun pengajaran yang bermanfaat.

Secara kesimpulannya jumhur ulama tafsir memberi maksud bagi perkataan amthal ialah merangkumi makna daripada pelbagai perkataan seperti al-Ayah yang bermaksud tanda, al-Hujjah yang bermaksud dalil dan bukti, al-‘Izah yang bermaksud teladan al-‘Ibrah yang bermaksud pengajaran dan lain-lain.

Wallahua’lam.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button