KUALA LUMPUR: Setelah hampir sebulan ditubuhkan, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dilihat berada di landasan tepat apabila ia mula menunjukkan hasil positif dalam menguruskan kenaikan kadar inflasi yang meresahkan rakyat mutakhir ini.
Diwujudkan oleh kerajaan pada 29 Jun yang lalu, pasukan itu yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Komitmen pasukan khas itu dalam menangani inflasi terbukti menerusi perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk pemberian subsidi, pemantauan dan penguatkuasaan melalui kementerian berkaitan.
“Matlamat pasukan ini adalah untuk mengekalkan negara dikalangan negara Asian sebagai negara yang dapat menyediakan keperluan asas pada harga yang paling rendah dan mengekang kenaikkan inflasi pada tahap yang terkawal.” tegas Annuar Musa dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.
Beliau turut memberi jaminan pasukan tersebut akan melakukan usaha berterusan dengan melaksanakan beberapa langkah drastik yang akan diumumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.
Mengulas mengenainya, pensyarah kanan di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham berkata penubuhan pasukan itu adalah relevan dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini, demi menjamin kebajikan rakyat.
“Penubuhan pasukan ini adalah perlu kerana masalah inflasi dan kos sara hidup telah menunjukkan kesannya ke atas rakyat sejak tahun lepas lagi.
“Kemungkinan agensi, jawatankuasa atau pihak berkaitan sebelum ini lebih tertumpu pada pelaksanaan gaji minimum dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup sedangkan impak inflasi menekan hampir semua kelompok masyarakat,” kata Dr Raja Rizal Iskandar kepada Bernama.
Justeru, pasukan itu akan memainkan peranan mencari penyelesaian di peringkat akar umbi termasuk mengenal pasti punca kenaikan harga barang tertentu yang disifatkan tidak munasabah.
“Pasukan ini bertanggungjawab bertindak balas kepada keadaan inflasi dan ia tidak berfungsi secara ‘ad hoc’ semata-mata.”
“Keberkesanan pasukan ini semestinya akan membuahkan hasil dengan usaha pemantauan dan penguatkuasaan terperinci terhadap jaringan rantaian makanan yang mengakibatkan berlakunya kenaikan harga,’’ jelas Raja Rizal Iskandar lagi.
Antara usaha terbaharu yang dibuat pasukan itu ialah penetapan harga maksimum minyak masak yang akan diputuskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas didapati pengeluar minyak masak botol masih “liat” untuk menurunkan harga sekalipun harga minyak sawit dunia telah turun.
Menerusi langkah itu, kerajaan akan mewartakan harga minyak masak botol mengikut kaedah undang-undang sedia ada dan berdasarkan harga pasaran minyak sawit mentah dunia.