Siapa sangka trend viral jual beli di Tiktok dengan kaedah mencedok rupanya jatuh hukum HARAM !
‘Cedok-cedok’ ini sebenarnya merupakan satu urusan jual beli di mana penjual akan mencedok secara live barangan yang dibeli berdasarkan jumlah yang dibayar oleh pembeli.
Contohnya ‘Satu cedok berharga RM80’.
Kebanyakan barangan adalah random seperti gula-gula, alat solek dan barangan harian.
Namun, lama kelamaan timbul persoalan apakah hukum disebalik ‘cedok-cedok’ ini?
Berdasarkan perkongsian Ustaz Lokmanulhakim Hussain di Facebook, beliau bersetuju dengan pandangan beberapa pakar mualamat seperti Dr Ahmad Sufian dan Dr Uzar bahawa bentuk jual beli sebegini adalah HARAM.
Kenapa ianya haram?
Hal ini kerana, urusan jual beli seperti ini dilihat mengandungi unsur gharar atau ketidakpastian terhadap barang yang dijual.
Katanya, gharar itu pula adalah dimaksudkan bukan gharar yang boleh dimaafkan, kerana bentuk jual beli itu dibentuk sedemikian supaya pembeli tidak ada pilihan menentukan barang yang disukainya.
Oleh itu, jual beli seperti ini menyerupai bentuk jual beli amalan masyarakat lama sebelum kedatangan Islam yang berasaskan gharar, seperti jual beli mulamasah dan munabadzah.
Merujuk riwayat sahih Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah.
Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual.
Dalam pada masa, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Sufian Che Abdullah turut menjelaskan ada dua keadaan berlakunya gharar, sama ada gharar wujud di mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barang diperoleh atau tidak.
Kedua, gharar al-siffah iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi.
Sementara itu, Dr Ahmad Sufian yang juga merupakan pakar syariah dan muamalat menasihati orang ramai sama ada penjual atau pembeli agar berhati-hati kerana ini merupakan amalan masyarakat lama sebelum kedatangan Islam yang tidak sepatutnya dijadikan bisnes mahupun kandungan video.