
RIYADH : Pihak berkuasa Arab Saudi telah menyediakan 93 pusat penjagaan kesihatan di seluruh kota suci Mekah kepada jemaah yang melaksanakan ibadah haji.
Menurut laporan Al-Arabiya News, pusat-pusat yang beroperasi sepanjang masa, termasuk klinik am turut menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada jemaah haji, termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik.
Menurut Kementerian Kesihatan, 53,450 jemaah haji mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan oleh hospital dan pusat penjagaan kesihatan di Mekah dari 30 Jun hingga 7 Julai.
Pusat pejagaan kesihatan tersebut telah menjalankan lapan pembedahan jantung, 108 kateterisasi jantung, 313 rawatan dialisis, sembilan pembedahan laparoskopi dan 177 pembedahan lain.
Sebagai tambahan kepada pusat-pusat ini, Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah Saudi menempatkan lebih 347 pengamal penjagaan kesihatan di 37 pusat untuk menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji di Mina pada hari Tarwiyah.
Terdahulu pada Khamis, jemaah haji menunaikan solat di kota Mina, kira-kira lapan kilometer timur Mekah. Jemaah haji diwajibkan tinggal di Mina sehingga matahari terbit pada hari kedua haji, ketika mereka berangkat ke Arafah.
Ibadah haji dianggap sebagai perhimpunan keagamaan terbesar di dunia, dengan kira-kira 2.5 juta orang melakukan ibadah itu pada 2019.
Walau bagaimanapun, disebabkan oleh Covid-19, Kerajaan telah menurunkan secara mendadak bilangan jemaah yang dibenarkan untuk melakukan ritual tersebut.
Tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah membenarkan satu juta jemaah haji dari dalam dan luar negara untuk melaksanakan rukun Islam ke-5 itu.