Menjual daging korban, boleh ke tidak?
Hari Raya Aidiladha bakal tiba tidak lama lagi. Kita juga mungkin sudah tahu sejarah ibadah korban itu sendiri yang bermula dari zaman Habil dan Qabil sehinggalah ke zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Kita juga pasti sudah tahu tentang kelebihan melaksanakan ibadah korban ini.
Mungkin ada timbul keraguan dan sesetengah masyarakat sama ada dibenarkan atau tidak sekiranya umat Islam menjual kembali daging korban?
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan tersebut adalah dilarang jika penerima daging korban tersebut ialah daripada golongan yang kaya.
Mereka menjelaskan bahawa Nabi SAW telah melarang untuk memberikan daging korban sebagai upah kepada penyembelih. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ali Bin Abi Talib:
أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا
Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar sebahagian dari daging tidak diberikan kepada penyembelih sebagai upah”.
Riwayat Al-Bukhari & Muslim
Seterusnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa penjualan kulit, daging atau apa-apa bahagian daripadanya adalah tidak dibenarkan disisi Mazhab al-Syafie. Perkara ini dinyatakan oleh beliau di dalam kitabnya:
وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جِلْدِ الْهَدْيِ وَلَا الأضحية ولا شيء من أجزائهما
Maksudnya: “Disisi Mazhab kami adalah dilarang untuk menjual kulit binatang korban, daging binatang korban dan apa-apa bahagian daripadanya”.
(Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 9/65)
Dalam pada itu Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa sepakat disisi mazhab syafie bahawa dilarang untuk menjual apa-apa bahagian daripada binatang korban. Hal ini samada ibadah korban itu sunat atau nazar.
Namun begitu, jika penerima daging korban tersebut adalah dari golongan miskin maka mereka boleh menjual daging tersebut. Habib Abdul Rahman al-Ba’lawi menyatakan di dalam kitabnya:
وللفقير التصرف في المأخوذ ولو بنحو بيع الْمُسْلَمِ لملكه ما يعطاه، بخلاف الغني فليس له نحو البيع بل له التصرف في المهدي له بنحو أكل وتصدق وضيافة ولو لغني، لأن غايته أنه كالمضحي نفسه،
Maksudnya: “Bagi golongan yang fakir, membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya, berbeza dengan golongan yang kaya tidak dibenarkannya untuk melakukan perkara seperti menjualnya namun ia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan menjamu tetamu walaupun mereka kaya, ini kerana kedudukannya seperi orang yang melakukan korban.”
Kesimpulannya, perbuatan menjual kembali daging korban yang diperolehi adalah dilarang jika penerima daging korban tersebut ialah daripada golongan yang kaya. Manakala jika penerima tersebut daripada golongan miskin maka perbuatan tersebut dibenarkan. Wallahuallam.