KerohanianPendidikanSemasa

Amalan yang digalakkan dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah

Secara umumnya, bulan Zulhijjah dikenali sebagai salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT dan terdapat di dalamnya banyak keutamaan dan kelebihan-kelebihan, terutamanya 10 hari terawal daripadanya. Di antaranya ialah Allah SWT bersumpah dengan bulan ini secara umum dan sebahagian daripadanya secara khusus. Mengenai perkara ini, Allah SWT berfirman:

‎وَالْفَجْرِ ‏ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya: “Demi waktu fajar ; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Selain itu, amalan kebaikan yang dilakukan dalam 10 hari terawal Zulhijjah sangat disukai dan dilipat gandakan. Portal Maktabah Al-Bakri ada menyenaraikan segala amalan yang boleh dilakukan ketika tibanya Zulhijjah terutamanya pada 10 hari terawal. Terdapat hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Pertama: Melakukan ibadah korban bagi yang berkemampuan

Pada asasnya, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa ibadah korban ada dinyatakan di dalam al-Quran dan terdapatnya tuntutan melakukan korban yang dibalas dengan pahala sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Di antaranya adalah firman Allah SWT:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan bacakanlah ke atas mereka itu berkenaan berita dua anak Nabi Adam dengan kebenaran, ketika mana keduanya melaksanakan ibadah korban, lalu diterima korban salah seorangnya dan tidak diterima korban yang satu lagi. (Qabil) berkata: ‘Nescaya aku akan membunuh kamu.’ Sesungguhnya Allah hanya menerima dari kalangan orang yang bertakwa.”

Selain daripada itu, orang yang berkorban, disunatkan untuk menyembelihnya sendiri. Jika tidak dapat berbuat demikian kerana keuzuran dan sebagainya, maka hendaklah dia menyaksikan penyembelihan tersebut. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah R.Anha:

قُوْمِي إِلَى أُضْحِيَّتِكَ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا يُغْفَرُ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبُكَ. قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَنَا أَهْلَ الْبَيْتِ خَاصَّةً أَوْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لَنَا وَلِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً

Maksudnya: “Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Adakah ini khas untuk kita Ahlul bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Bahkan untuk kita dan untuk orang Islam seluruhnya.’

Kedua: Disunatkan untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban

Apabila sudah masuk bulan Zulhijjah — yakni bermulanya 1 Zulhijjah — maka disunatkan bagi orang yang ingin melakukan korban untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut atau bulu di kepala, wajah mahupun badannya.

Begitu juga disunatkan untuk tidak memotong kukunya, sehingga dia selesai menyembelih haiwan korbannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai melakukan korban.”

Ketiga: Galakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh dan zikir kepada Allah SWT

Bukan hanya itu, dalam sepuluh awal Zulhijjah juga kita dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan seperti berpuasa, berzikir kepada Allah dan lain-lain. Hal ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa dianjurkan (sunat) untuk memperbanyakkan amalan zikir pada sepuluh awal dalam bulan Zulhijjah dengan lebih lagi berbanding hari-hari yang lain, dan begitu juga disunatkan untuk memperbanyakkan lagi amalan itu pada hari ‘Arafah berbanding baki hari-hari lain dalam sepuluh awal Zulhijjah.

Keempat: Berpuasa pada hari ‘Arafah

Hari ‘Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang ‘Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji. Di antara amalan yang dianjurkan juga adalah berpuasa pada hari ‘Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah bagi sesiapa yang tidak mengerjakan ibadah haji. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa pada hari ‘Arafah? Baginda bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الـمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”

Hadith di atas menjadi dalil yang menunjukkan kepada kelebihan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Arafah, dan pahalanya yang besar di sisi Allah SWT iaitu dihapuskan dosanya selama dua tahun — yakni tahun sebelum dan tahun selepasnya.

Kelima: Memperbanyakkan doa pada hari ‘Arafah secara khusus

Terdapat hadith daripada riwayat ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik zikir yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan ialah, ‘لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan hanya Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”

Keenam: Menghidupkan malam hari raya Aidiladha iaitu malam 10 Zulhijjah.

Dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa perkataan ‘Id (عيد) berasal daripada perkataan ‘Aud (عَـودٌ), yang bererti ulangan. Ini kerana sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun atau kegembiraannya berulang setiap kali menjelang hari raya, atau banyak nikmat Allah SWT dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya pada hari raya tersebut.

Terdapat banyak nas yang menggalakkan kita menghidupkan malam raya dengan berqiamullail dan sebagainya, di mana padanya terdapat keberkatan dan rahmat. Justeru, bergembira pada malam raya dengan memuja dan memuji kebesaran Ilahi dan bertakbir sudah pasti mempunyai banyak kelebihan.

Ketujuh: Solat hari raya Aidiladha (10 Zulhijjah)

Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Selain daripada itu, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakkad. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.

Kelapan: Bertakbir pada waktu subuh Hari ‘Arafah sehingga waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.

Mereka menjelaskan bahawa takbir terbahagi kepada dua jenis iaitu; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

  1. Takbir Mursal: Ia juga disebut sebagai Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu-waktu solat. Justeru, disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa, dan ia terdapat pada Aidilfitri dan Aidiladha. Waktunya adalah bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya.
  2. Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat selepas solat, tidak kira solat fardhu ataupun sunat, solat dalam waktunya (أداءً) ataupun solat qadha’ sekalipun solat jenaza, dan ia hanya terdapat pada Aidiladha. Waktunya pula dibezakan antara orang yang mengerjakan haji dengan orang yang tidak mengerjakan haji.

Oleh yang demikian, walaupun 10 terawal Zulhijjah sudah hampir sampai ke penghujungnya, umat Islam masih sempat untuk mengamalkan amalan-amalan tersebut bagi mendapat keredaan Allah S.W.T.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button