InspirasiKerohanianKesihatanPendidikanSemasa

Bahaya Microsleep ketika memandu !

Pernahkah anda mengalami situasi ketika anda sedang memandu, tiba-tiba terlelap?

Apabila tersedar, kenderaan anda rapat dengan kenderaan hadapan, terhantuk stereng atau cermin tingkap kenderaan, dan mungkin anda dihon kerana memasuki lorong kenderaan sebelah?

Jika anda pernah mengalaminya, situasi itu dipanggil microsleep.

Tidur mikro atau microsleep merupakan rasa tidur atau mengantuk yang boleh bertahan dari sependek sesaat sehingga 30 saat. Ia boleh berlaku walaupun mata masih terbuka. Keadaan itu berlaku apabila badan ‘tidur’ buat seketika dan deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses.

Microsleep ini berlaku disebabkan oleh rasa mengantuk yang amat sangat dan digabungkan dengan tugas yang membosankan seperti memandu atau sedang menonton televisyen.

Apabila kita dalam keadaan mengantuk, walaupun secara fizikalnya kita dalam keadaan terjaga namun hakikatnya otak kita tidak berfungsi secara sepenuhnya.

Sejajar dengan itu, bagi memastikan pemanduan kita selamat dan tidak meragut nyawa orang lain, pemandu itu sendiri perlukan waktu tidur yang cukup dan berkualiti.

Oleh itu, orang dewasa disyorkan untuk tidur selama 7 hingga 8 jam sehari supaya dapat rehat yang cukup disamping penting untuk kesihatan jantung dan imun badan. Apabila kita mendapat tidur yang cukup sudah pasti kita akan bertenaga untuk memandu dan mengelakkan risiko microsleep.


Tambahan pula, jika terlalu mengantuk ketika memandu di siang hari, kita boleh lakukan beberapa perubahan seperti berikan diri kita masa untuk tidur yang tidak melebihi 20 minit, ia juga dikenali sebagai tidur tengahari (power nap) atau qailulah iaitu tidur pada pertengahan siang bagi membantu diri kita lebih segar.

Malah, perbuatan qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda yang bermaksud:

” Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.”  Riwayat Al-Tabarani

Bagi mengelakkan rasa mengantuk atau microsleep semasa memandu, kita boleh ambil masa untuk berhenti rehat dan mendapatkan minuman seperti kopi untuk menghilangkan rasa ngantuk dan terus berjaga serta bertenaga.

Selain itu, untuk perjalanan yang jauh, elakkan memandu secara bersendirian dan cuba berbual bersama penumpang dalam kereta tersebut.

Begitu juga dengan oksigen, salah satu punca mengapa microsleep boleh berlaku adalah kerana kekurangan oksigen dalam badan. Oleh itu, ketika memandu cuba untuk buka tingkap seketika untuk menghirup udara segar.

Pendek kata, jagalah waktu tidur kita, untuk mengelakkan berlakunya microsleep dan sudah pasti perjalanan kita yang jauh ini sentiasa di nanti oleh keluarga tersayang.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button