InspirasiKerohanianPendidikanSemasa

Hadiah kahwin ikut trend, memudahkan pengantin ataupun memalukan ?

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

Meraikan sahabat kita yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan sudah pasti menambahkan kegembiraan pada hari bahagia mereka.

Pemberian hadiah kepada pengantin baru merupakan antara adat yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat setempat.

Ia adalah adat yang bertepatan dengan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai” Riwayat al-Bukhari

Jelaslah di sini perbuatan memberi dan menerima hadiah sangatlah dianjurkan dalam Islam.

Namun setiap perkara ada aturan dan hadnya.

Sejak kebelakangan ini, berlaku trend yang dikongsikan dalam sosial media memaparkan gelagat saudara-mara mahupun rakan taulan memberi hadiah yang memalukan atau berunsur lucah kepada pasangan pengantin.

Pemberian hadiah yang memalukan itu boleh mendatangkan reaksi tidak selesa daripada pihak pengantin mahupun tetamu yang melihatnya.

Sepatutnya perlakuan seperti ini tidak boleh dijadikan ikutan dalam masyarakat, ia kerana perbuatan tersebut salah di sisi syarak.

Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Ahnaf bin Qais, yang bermaksud:
“Elakkan majlis (perkumpulan) sesama kita daripada berbicara mengenai perempuan dan makanan. Sesungguhnya aku benci akan lelaki yang asyik berbicara mengenai seks dan keperluan perutnya”. (Kitab Siyar A’lam al-Nubala’)

Justeru itu, umat Islam dituntut agar menuturkan kata-kata yang baik ketika bergurau mahupun ketika berada dalam sesuatu majlis.

Hukum membuat lawak lucah adalah haram dalam Islam. Malah budaya sebegini tidak seharusnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana ia adalah perbuatan yang tercela.

Jadikanlah pemberian hadiah kepada raja sehari itu sebagai kenangan indah yang boleh memberikan kebahagian kepada mereka. Moga dengan setiap pemberian yang kita berikan mendatangkan manfaat yang bermakna buat mereka yang baru mendirikan rumah tangga.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button