Eh, pakai singlet untuk solat?
Golongan lelaki sangat sinonim dengan pakaian singlet. Ia merupakan pakaian tidak berlengan yang amat memudahkan pemakai.
Persoalannya adakah pemakaian seperti ini dibolehkan ketika menunaikan solat? Ini kerana seseorang yang menunaikan solat dengan memakai singlet bererti dia beribadah dalam yang mendedahkan bahagian bahu dan ketiaknya.
Adakah ini dibenarkan?
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
“Janganlah salah seorang dari kamu solat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.” Riwayat Al-Bukhari.
Hadis di atas menunjukkan larangan mendedahkan bahagian bahu dan menurut usul fiqh ia perbuatan yang membawa erti haram.
Namun, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafie serta jumhur berpendapat bahawa larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih yang bermaksud tidak membawa kepada dosa malah, perbuatan itu dibenci oleh agama, bukannya kepada pengharaman.
Ini kerana pandangan Imam Malik, dan Imam Al-Syafie, kedua-dua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain.
Jika seseorang itu solat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka solatnya dikira sah berserta hukum makruh.
Justeru itu, biarpun jumhur ulama mengatakan ia perbuatan yang makhruh, sebagai umat Islam kita seharusnya berpakaian kemas dan menutup aurat apabila hendak beribadah.
Seperti mana kita bersiap hendak pergi kerja dengan berpakaian kemas, begitu juga kita perlu bersiap apabila hendak beramal ibadah kepada Allah SWT.