Semasa

Jenazah guru meninggal dunia selepas pengsan di masjid selamat dikebumikan

LIPIS : Jenazah guru yang dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan ketika singgah untuk berehat dan solat di Masjid Baharu Benta, Lipis semalam telah selamat dikebumikan pada pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Wan Tarmimin Dendara.

“Bersama-sama rakan sahabat solat jenazah dan mengiringi perjalanan akhir Allahyarham Ustaz Nik Zulkiflee Nik Yusof.

“Semoga diampunkan dan tempatkan bersama para solehin….amin,” menurut hantaran tersebut.

Ruangan komen pada hantaran berkenaan turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada warga maya.

Terdahulu, hasrat seorang guru untuk bercuti bersama keluarga mentua tidak kesampaian apabila meninggal dunia di Benta semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan Nik Zulkiflee Nik Yusof, 48 sedang dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Negeri Sembilan.

Beliau dikejarkan ke Klinik Kesihatan Benta untuk menerima rawatan selepas didapati tiba-tiba pengsan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.05 petang semalam.

Nik Zulkiflee merupakan guru besar Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri (STAR).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button