Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
ANKARA : Presiden Tayyip Erdogan memaklumkan Turki bersedia menyerang kawasan Tal Rifaat dan Manbij di Utara Syria, yang berhampiran sempadan Turki, bagi menghalang dan menghapuskan ancaman keganasan dari wilayah itu.
“Kami mengambil satu langkah lagi dalam mewujudkan zon keselamatan sepanjang 30 kilometer di sempadan selatan kami. Kami akan membersihkan Tal Rifaat dan Manbij daripada pengganas dan akan melakukan perkara yang sama kepada beberapa kawasan lain.
“Mari kita lihat siapa yang menyokong langkah ini dan siapa yang menghalangnya,” katanya.
Ankara telah menjalankan empat operasi di Utara Syria sejak 2016, menakluki ratusan kilometer dan menyasarkan Unit Perlindungan Rakyat Kurdistan (YPG).
Presiden Turki itu juga menuduh Moscow dan Washington gagal memenuhi janji mereka dengan memaksa pengunduran tentera Kurdish dari wilayah Syria yang bersempadan dengan Turki.
Perkara itu telah mendorong Ankara melancarkan operasi bagi “melindungi negara” dan menghapuskan apa yang dianggapnya sebagai ancaman pengganas.
Erdogan pertama kali mengumumkan rancangannya minggu lalu apabila berkata bahawa Turki “tidak lama lagi akan mengambil langkah baharu mengenai bahagian projek tidak lengkap yang dimulakan di zon penampan sejauh 30 kilometer yang kami bina di sepanjang sempadan selatan kami.”
-Agensi