BANDAR RAYA MEXICO : Penjualan rokok elektronik atau-rokok dan peranti vape kini diharamkan di Mexico atas kebimbangan mengenai kesan kesihatan ke atas rakyatnya.
Presidennya, Andres Manuel Lopez Obrador telah menandatangani dekri bagi memperkenalkan larangan tersebut pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia.
“Adalah bohong untuk mendakwa bahawa e-rokok adalah alternatif yang selamat untuk menggantikan rokok, wap vape itu juga berbahaya untuk kesihatan,” katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa bandar raya itu mengumumkan bahawa dataran utama bandar raya Mexico iaitu Zocalo dan kawasan sekitar di daerah bersejarah yang sibuk itu merupakan antara kawasan yang terlibat mengenai larangan tersebut.
Menurut mereka, langkah itu adalah bertujuan bagi meningkatkan kesedaran tentang risiko kesihatan.
Dalam pada itu, sudah lebih sedekad pengharaman aktiviti merokok dilaksanakan di kawasan yang tertutup, pejabat kerajaan, kedai, bar dan restoran dengan pengecualian di tempat-tempat hiburan tertentu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Hugo Lopez-Gatell, Mexico melarang import dan eksport peranti dan kartrij vape pada Oktober lalu tetapi pihak syarikat yang mengeluarkan produk tersebut masih lagi menjual peralatan itu.