Kipas Bukan Makmum !
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
‘Trend Makmum Kipas’ merupakan trend yang semakin rancak diperkatakan oleh masyarakat apabila kipas diletakkan sebagai makmum atau imam di dalam solat? Apa nak jadi dengan kita? Adakah perbuatan tersebut untuk memenuhi ‘content’ semasa? Untuk mendapat like yang beribu-ribu?
Islam tidak melarang pengikutnya untuk berhibur dan bersuka-ria. Namun jika perkara tersebut sampai membawa kepada menjatuhkan atau merendahkan agama Islam dan syiar Islam, maka perlakuan tersebut adalah dilarang.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).” Surah Al-An’aam: 70
Seharusnya dalam memuat naik sesuatu kandungan perlulah berpada-pada dalam mengikuti trend media sosial masa kini yang boleh menjejaskan kedudukan kita sebagai muslim.
Video kipas makmum itu turut mendapat kecaman di tiktok, rata-rata warganet bersetuju bahawa perbuatan tersebut mempersendakan agama dan perbuatan solat tidak boleh dibuat main.
Sejak isu tersebut viral dan mendapat perhatian umum, banyak jabatan agama dan pendakwah bebas mengupas isu ini dan memberikan teguran agar jangan jadikan agama itu sebagai persendaan oleh masyarakat.
Dalam satu video ceramah yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus beliau menyatakan bab syiar Islam tidak boleh dipermainkan.
“Apa tujuan video (kipas makmum) itu dilakukan? Kita nak buat sesuatu, dalam bab syiar Islam kita tidak boleh buat main.
“Seorang ulama Jordan yang merupakan mufti di Australia, dalam fatwa dia menyatakan jadi kafir kalau kita mempermainkan ihtisab (ikhlas untuk Allah SWT dan mengkehendaki redhanya) dengan mana-mana satu syiar Islam.
“Takut video yang dilakukan ada tujuan mempersenda-sendakan agama. Banyak perkara yang boleh kita bergurau, tapi bab syariat tidak boleh. Sebab akhir zaman, orang jadi kafir lagi laju macam anak panah,” katanya dalam video tersebut.
Justeru itu, bergurau dengan menggunakan nama-nama Allah SWT atau mempersendakan agama Islam, yang menjadikan perkara tersebut menghina agama, maka perbuatan tersebut dilarang.
Semoga Allah SWT melindungi kita daripada perbuatan dan perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada rahmat-Nya. Amin.