DuniaEkonomiSemasa

Dunia berdepan krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

ISTANBUL : Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia pada jumaat berkata, semua agensi termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sepakat bersetuju dunia akan berdepan dengan krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Eren Gunhan Ulusoy berucap pada persidangan antarabangsa yang melibatkan kumpulan itu di Istanbul bahawa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan, lapor Agensi Anadolu.

“Setiap biji gandum berharga, kita mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian,” katanya.

Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula khamis lalu, membincangkan beberapa topik termasuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bijirin peringkat global, isu perdagangan dan operasi pengilang.

“Pengilang mesti berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.

“Sekiranya gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan,” katanya.

Pengeksport gandum utama dunia antaranya Ukraine yang menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Russia di negara itu.

Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, menyatakan 12 juta tan metrik gandum dunia akan berkurang.

Beliau menambah lagi, 6 juta tan stok gandum telah dinaikkan berbanding sejuta tan tahun ini serta menegaskan India akan memenuhi defisit gandum namun, selepas berlaku peningkatan suhu yang tidak dijangka, negara itu menghentikan eksport gandum buat masa ini.

-Agensi

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button