JAKARTA : Bermula Isnin (23 Mei) depan, Indonesia akan menarik semula larangan eksport minyak sawit, menurut Presiden negara itu, Joko Widodo (Jokowi).
Menurut laporan Bloomberg, pengumuman itu sekali gus mengurangkan tekanan ke atas pasaran minyak sayuran global yang mencecah harga puncak kerana penggantungan, perang di Ukraine dan pemanasan global.
“Saya memutuskan eksport minyak masak akan dibuka semula pada Isnin, 23 Mei.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan bekalan dan keadaan minyak masak serta memandangkan terdapat 17 juta orang dalam industri sawit; petani dan pekerja sokongan lain,” katanya.
Bulan lalu, dalam menghadapi kekurangan bekalan dalam negara mereka, negara kepulauan itu mengeluarkan larangan bagi mendapatkan bekalan komoditi itu, yang digunakan dalam pelbagai barangan daripada taburan coklat kepada kosmetik.
Dalam pada itu, Jokowi memaklumkan membekalkan 270 juta penduduk negara itu adalah ‘keutamaan tertinggi’ kerajaannya susulan larangan tersebut berkuat kuasa.
Namun, Jakarta berada di bawah tekanan untuk mengawal harga yang sudah melonjak tinggi selepas pencerobohan Russia ke atas kuasa pertanian, Ukraine.
Pengeluar minyak sawit turut mengadakan bantahan minggu lalu di Jakarta dan beberapa bandar di Indonesia dengan mengadu harga buah kelapa sawit menurun drastik sehingga merugikan mereka.