Inisiatif geran UIA bantu wujudkan kolaborasi pemain industri, penggerak komuniti
GOMBAK : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuka permohonan geran kepada semua pemain industri, penggerak komuniti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan kolaborasi bersama mereka.
Menurut Pengarah Pejabat Jaringan Industri UIAM, Prof Madya Dr. Khairul Azami Sidek, objektif utama inisiatif ini adalah bagi menggalakkan kerjasama dengan industri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui geran Knowledge Transfer Programme (KTP) dan Public-Private Research Network (PPRN).
“Kebanyakan mereka bergerak secara persendirian, jadi kami laksanakan satu inisiatif geran dalaman yang kita panggil program “knowledge transfer” atau pemindahan agar dapat mewujudkan kerjasama antara industri dalam melancarkan lagi gerak kerja mereka.
Beliau berkata sedemikian dalam majlis Coffee Talk Session yang diadakan di Dewan Wadi Budi UIAM hari ini.
Mengulas lanjut, Prof Khairul memberitahu bahawa pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun 2020 sudah tentu memberi kesan terhadap bisnes serta gerak kerja industri.
“Jadi dengan inisiatif ini diharapkan agar mampu membuka jalan kepada ramai pihak yang mungkin selama ini mencari solusi dan peluang untuk “sustainability” dalam bisnes serta mendapatkan kolaborasi antara pihak walaupun perbezaan bidang, katanya,” menurutnya lagi.
Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merupakan antara organisasi yang menerima undangan menghadiri majlis tersebut dan turut menyatakan minat mereka untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak UIA.
Tambah Prof Khairul lagi, maklumat lanjut dan permohonan geran tersebut boleh dibuat dengan layari laman web https://www.iium.edu.my/office/oil atau https://epprn.mohe.gov.my/