PendidikanSemasa

Wajib qada puasa bagi musafir jika Ramadan kurang 29 hari

PUTRAJAYA : Wajib bagi umat Islam untuk menggantikan lagi ibadah puasa sekiranya bermusafir di negara yang berpuasa lewat sehari namun kemudian tiba di negara yang sudah pun tamat Ramadan bagi mencukupkan 29 hari.

Perkara tersebut dijelaskan oleh tokoh agamawan terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portal Maktabah Al-Bakri bagi menjawab kemusykilan orang ramai berkenaan tempoh puasa Ramadan bagi mereka yang bermusafir.

“Jika berada di negara yang memulakan Ramadan lambat sehari namun bermusafir di negara yang sudah berpuasa awal, maka wajib dia menyambut Aidilfitri bersama-sama penduduknya.

“Kemudian dia perlulah qada selama sehari setelah tamatnya Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana bulan Islam tidak akan kurang 29 hari,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata musafir yang berada di negara lewat berpuasa sehari tetapi selepas itu pergi ke negara yang tamat Ramadan, akan menyebabkan dia berpuasa 28 hari.

“Maka hendaklah dia bersama-sama dengan penduduk negeri tersebut menyambut Aidilfitri, dan kemudiannya menqada’kan puasanya selama sehari.

“Hal ini kerana bulan Islam tidak akan kurang daripada 29 hari. Justeru, hendaklah dia melengkapkan puasanya yang tidak mencukupi 29 hari dengan berpuasa tambahan sehari setelah tamatnya bulan Ramadan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun hukum keadaan itu berdasarkan pandangan ulama terkenal al-Khatib al-Syarbini adalah berbeza sekiranya musafir tersebut sudah pun berpuasa sebanyak 29 hari.

Sehubungan itu tambah beliau, individu berkenaan tidak wajib ke atasnya untuk qada kerana dia telah lengkap menepati bilangan minimum hari dalam bulan Islam iaitu 29 hari sahaja.

Hujah tersebut turut disokong seorang lagi ulama, Syeikh Abdul Aziz Baz apabila ditanya isu berkenaan bahawa musafir itu perlu berpuasa atau berhari raya mengikut negara dia berada.

Malahan, jika puasanya belum cukup 29 hari namun tempat tersebut sudah meraikan Aidilfitri, dia tetapi boleh menyambut hari raya dan kemudian diganti sehari lagi selepas perayaan itu.

“Kaedah ini menurut qaul (pendapat) muktamad ulama mazhab Syafie berdasarkan antaranya Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli,” kata Zulkifli.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button