Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
ARAU : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan jemaah solat, termasuk solat sunat Aidilfitri untuk bersalaman berkuat kuasa waktu Subuh, Ahad 1 Mei ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah Pelaksanaan SOP Terbaharu Pengimarahan Masjid dan Surau membolehkan jemaah tidak perlu terikat dengan status vaksinasi termasuk kanak-kanak yang turut dibenarkan hadir untuk menunaikan solat di masjid dan surau.
“Walaubagaimanapun, Pegawai Bertugas dan Jemaah Masjid kekal dilarang untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan berstatus PUI (Person Under Investigation) PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti,” titah baginda dalam satu kenyataan media, semalam.
Baginda juga bertitah, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan jamuan adalah dibenarkan mengikut SOP kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan.
Malah aktiviti sosial lain seperti jamuan, gotong-royong, perkahwinan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP. Arahan SOP terbaharu ini melibatkan semua masjid dan surau diseluruh Negeri Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Solat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis digalakkan untuk dilakukan di atas tanah lapang yang bermula pada jam 8 pagi seperti tahun sebelum ini dan pemilihan tanah lapang tersebut tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing.
“Walau bagaimanapun pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan Jemaah yang hadir,” titah baginda.
Dalam pada itu, pelaksanaan solat Aidilfitri di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dibenarkan.