Semasa

Malaysia sertai mesyuarat OIC bincang pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa

PUTRAJAYA : Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) peringkat Perwakilan Tetap turut disertai oleh Malaysia bagi membincangkan pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC mempengerusikan mesyuarat yang diadakan di Jeddah itu dan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota lain.

OIC menerima pakai pernyataan akhir, antara lain mengulangi betapa pentingnya perjuangan Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih berkesan bagi menangani konflik itu.

“Pernyataan itu juga menggesa negara anggota OIC dan masyarakat Islam bersama-sama di forum antarabangsa bagi memastikan konflik Palestin-Israel kekal tinggi dalam agenda global,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, sokongan tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat Palestin disuarakan dari seluruh anggota OIC serta mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa terutamanya ketika Ramadan.

Mereka turut menekankan keperluan untuk memelihara status quo sejarah serta undang-undang di Masjid Al-Aqsa di samping mendesak tindakan segera menamatkan pencabulan Israel terhadap tapak suci Islam.

Pada 15 April, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera ketika bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.

Insiden itu mendapat tentangan keras daripada penduduk Palestin sambil menyeru negara-negara Islam mempertahankan kesucian masjid itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button