DomestikEkonomiSemasa

Bekalan ayam dan telur mencukupi menjelang Aidilfitri

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih 

NILAI : Menjelang musim perayaan ini bekalan keperluan harian seperti ayam segar dan telur ayam dijamin mencukupi dan tidak akan menghadapi masalah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, perbincangan telah dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) termasuk pelbagai agensi lain dan beberapa pengeluar ayam yang memberi jaminan bekalan mencukupi.

“Kita mengadakan rundingan dengan beberapa agensi termasuk pengeluar ayam yang menternak dalam skala besar, mereka memberi jaminan bekalan ayam dan telur mencukupi untuk Aidilfitri dan selepas itu.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam dan telur, jadi saya harap bekalannya kekal ada,”katanya.

Tambahnya lagi, selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan melancarkan Program Jualan Malaysia 2022 Rancak Aidilfitri pada hari ini dan kerajaan juga menetapkan tempoh tertentu pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa bagi memberi keadilan kepada pengguna dan peniaga.

“Kita tidak boleh berterusan sepanjang masa melaksanakan SHMMP ini kerana itu tidak adil kepada peniaga.

“Jadi, kita letakkan satu skim harga munasabah, pada masa yang sesuai dan berharap peniaga mematuhi peraturan serta tidak menjual barangan keperluan asas pada harga tinggi atau mengambil untung berlebihan.

“Lazimnya akan ada naik sedikit (harga barangan) sebaik skim ini berakhir,” katanya.

Mengenai penternak ayam berkaitan isu kartel yang didakwa melibatkan campur tangan politik, beliau menjelaskan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang melakukan siasatan mengenainya.

Menurutnya, siasatan itu perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Tidak boleh terlalu cepat mengatakan ada kartel, mungkin ada, saya tidak menafikan, juga belum pasti lagi.

“Saya tidak menafikan dan tidak akan berkompromi dalam hal ini, isu kartel ini bukan perkara mudah tunggu siasatan daripada MyCC.

“Setakat ini kita belum dapat mengesahkannya lagi kerana siasatan masih berjalan termasuk bekerjasama dengan pihak polis,” katanya.

-Agensi

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button