Semasa

Kuota haji Malaysia turun 45 peratus – Idris Ahmad

KUALA LUMPUR : Kuota haji Malaysia bagi tahun 2022 telah ditetapkan seramai 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan perkara tersebut menerusi pengumuman secara langsung di Facebook rasmi beliau.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

“Kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

“Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport.

Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button