Semasa

Daging penguin halal untuk dimakan

KUALA LUMPUR : Penguin merupakan sejenis burung laut di Antartika yang berwarna hitam putih, berkaki pendek, menggunakan sayapnya untuk berenang, dan berjalan tegak lurus di darat.

Namun, timbul persoalan dari masyarakat bahawa adakah penguin sejenis haiwan yang halal untuk dimakan atau sebaliknya.

Menurut penjelasan dari portal Maktabah Al-Bakri merujuk kepada Imam al-Ghazali, semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain.

“Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging penguin iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain.

“Begitu juga, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW,” menurut penjelasan itu.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”[9]

“Kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button