DuniaSemasa

Polis Perancis pukul dua wanita bertudung

Orang ramai nafi dakwaan polis tuduh dua wanita halang tugas

PARIS : Dua wanita berhijab yang dipukul polis Perancis di Jambatan Clichy Khamis lalu tekad memfailkan aduan terhadap pegawai polis tersebut, lapor Agensi Anadolu.

Menurut ciapan peguam dua wanita itu di Twitter, Nabil Boudi berkata anak guamnya masih trauma dengan keganasan pegawai polis itu.

Bagaimanapun, kedua wanita itu nekad untuk menegakkan keadilan mereka.

Aduan akan difailkan terus kepada Inspektorat Am Polis Negara (IGPN) kerana keganasan yang disengajakan oleh pegawai awam.

Terdahulu, rakaman video serangan itu tular menunjukkan polis memukul dua wanita bertudung selama beberapa minit di tengah jalan.

Polis bertindak menumbuk seorang daripada mereka dan cuba melemparkan seorang lagi ke tanah.

Sementara itu, dalam rakaman video lain yang diambil orang awam, memaparkan polis terus menerus menyerang wanita itu biarpun dimarahi orang sekeliling yang berada di tempat kejadian.

Kata saksi, polis mendakwa mereka mempunyai kuasa untuk memukul kedua wanita itu.

Selepas tular video di media sosial, orang ramai beranggapan polis Perancis merupakan Islamofobia.

Walau bagaimanapun, Jabatan Polis Perancis dalam satu kenyataan mendakwa dua wanita itu menghalang kereta polis daripada memberhentikan kenderaan yang mencurigakan dengan menyeberang jalan.

Namun, dakwaan itu bertentangan daripada apa yang dilihat saksi ketika kejadian.

Related Articles

Back to top button