Malaysia kutuk tindakan provokasi bakar al-Quran di Sweden
PUTRAJAYA : Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi membakar senaskhah al-Quran kelmarin oleh seorang pemimpin parti politik di Sweden.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata perbuatan biadab itu telah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama.
“Tindakan tersebut merupakan suatu usaha provokasi dan berniat menghasut kebencian yang mesti ditolak oleh semua pihak yang ingin hidup bersama dalam budaya damai,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia menekankan kepentingan harmoni untuk penghapusan segala bentuk keganasan dan kebencian termasuklah gerakan Islamofobia.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen berkenaan selain pelampau agama,” tegas Kementerian Luar lagi.
Media antarabangsa semalam melaporkan aksi pemimpin parti Stram Kurs berhaluan kanan anti-Islam, Rasmus Paludan bertindak biadab membakar kitab suci itu di bandar Linkoping.
Beliau malah dengan angkuh tidak menghiraukan bantahan sekumpulan 200 orang awam dari pelbagai agama yang mendesak pihak polis tempatan agar menghentikan perlakuan itu.
Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.
Parti diasaskan tokoh ini pada 2017 lalu itu amat dikenali kerana pendirian tegar anti golongan imigran terutama pendatang Muslim profesional yang banyak memajukan ekonomi Sweden.