#JusticeforBella : PPIM gesa pihak berkuasa siasat lebih mendalam
Kes dera Bella, jangan ada yang terlepas pandang
KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan kes penderaan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Down Syndrom, Bella.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata PPIM berpendirian tegas dalam isu ini dan tidak mahu mana-mana pihak berselindung atau lari dari tanggungjawab.
“Remaja itu diletakkan di bawah jagaan pengerusi sebuah persatuan yang menjalankan operasi rumah jagaan tanpa lesen.
“Dimanakah peranan pihak berwajib dalam hal ini, siapa yang membenarkan remaja itu diletakkan di bawah jagaan individu terbabit, siapa pula pegawai pelindung yang dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan remaja itu sepanjang tempoh dia berada di sana,” tegas Nadzim.
Ujar Nadzim, lebih membimbangkan maklumat berkenaan kes semakin tular di media sosial.
“Kecederaan yang dikatakan dialami oleh remaja tersebut amat menggerunkan dan pihak berkuasa seharusnya mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab mencederakan remaja itu serta mengapa tidak ada pemantauan pihak berwajib keatasnya,” katanya.
Selain itu, Nadzim dalam satu kenyataan mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu lebih mendalam.
“Saya difahamkan individu yang diberikan hak penjagaan sementara ini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.
“Bagaimana seseorang yang berada di tahap itu boleh diberikan hak penjagaan terutama sekali remaja dan bayi kurang upaya,”soal Nadzim.
Lebih mengejutkan, seramai tujuh kanak-kanak termasuk bayi pernah diserahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada individu tersebut sebelum kes penderaan terbongkar.
“Siapa yang mendera, siapa yang membiarkan, siapa yang meletakkan remaja itu di situ, mereka semua harus dipertanggungjawabkan dan bukan satu individu yang kini didakwa, semua mereka yang diberikan amanah untuk menjaga kebajikan anak ini harus dipertanggungjawabkan,” katanya.
Tambah Nadzim, sudah banyak kes jenayah berlaku di negara ini dan siasatan yang dilakukan hanya ingin menutup kes serta tiada penyelesaian jangka panjang diberikan.
“Jika kita sumbat seorang pelaku ini dalam penjara, apa jaminan pihak berkuasa bahawa individu ini tidak akan melakukan perkara yang sama ke atas mangsa lain dan apa yang jaminan JKM perkara ini tidak berlaku lagi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata PPIM mahu mewujudkan dan melaksanakan satu protokol tetap yang lebih berkesan dan bertindak lebih tegas dalam semua kes jenayah.
“Pihak berkuasa berkaitan juga perlu mengambil iktibar dalam kes penderaan Bella ini untuk memastikan tidak ada lagi penjawat awam yang gagal dan lalai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan mangsa lain teraniaya.” katanya.