
BAITULMAQDIS : Kira-kira 60,000 umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa biarpun lokasi tersebut menjadi sasaran utama puak Zionis.
Ketua pengarah Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis, Sheikh Azzam al-Khatib memberitahu Agensi Anadolu bahawa jumlah itu, walaupun kelihatan besar, namun, masih kurang daripada jumlah kebiasaannya.
Jumaat lalu, kehadiran jemaah dicatatkan lebih tinggi iaitu sekitar 80,000 orang.
Biarpun Masjid Al-Aqsa dikawal ketat oleh pihak keselamatan Israel tetapi ia tidak menjadi penghalang buat umat Islam menunaikan solat di sana.
Pada masa sama, pihak berkuasa Israel bertindak menghalang lelaki Palestin di bawah umur 50 tahun dari Tebing Barat dan semua penduduk Gaza daripada menunaikan solat di kiblat pertama umat Islam itu.
Menurut wartawan lapangan media antarabangsa, polis Israel mengawal pintu masuk, perkarangan masjid dan lorong-lorong Kota lama Baitulmaqdis.
Solat Jumaat ini tetap diteruskan walaupun berlakunya serangan Israel di masjid tersebut pada subuh sehingga menyebabkan 153 rakyat Palestin cedera parah.