Oleh: Izz Nazaruddin, wartawan pelatih
Susulan video yang tular di media sosial menampakkan seekor ulat dalam makanan di bazaar Ramadan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan kedai tersebut tutup.
@meximus_takasima33 Tolong jaga kebersihan makan #bazarramadanputrajaya #putrajaya #perbadananputrajaya #fyp
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM, mereka telah menjalankan siasatan dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai menjual mi tonggek yang tular baru-baru ini.
“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mi tonggek dengan mengarahkan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih”
“Pemilik gerai perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.
KKM juga telah mengeluarkan kompaun terhadap salah seorang pekerja yang tidak mengambil suntikkan vaksin anti-tifiod.
Siasatan oleh KKM juga mendapati peniaga tersebut mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar.
“KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut,” menurut kenyataan itu.
KKM juga telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 keatas pengeluar kuih limas yang tular kerana segumpal rambut yang dijumpai di dalamnya.
Sehingga kini, melalui Operasi Ramadan 2022 yang telah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 4,362 premis Bazar Ramadan telah diperiksa.
Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500.00 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.