Umat Islam dijangka sambut Ramadan dua kali setahun pada 2030
RIYADH : Bulan suci Ramadan dijangka akan disambut oleh umat Islam sebanyak dua kali setahun pada 2030 akan datang.
Ahli astronomi Arab Saudi, Khaled al-Zaqaq membuat ramalan mengenai perkara itu menerusi video yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya.
Menurut laporan portal Al-Arabiya News, Khaled memberitahu perkara berdasarkan fakta yang menunjukkan kalendar Gregory menandakan laluan bumi mengelilingi matahari manakala kalendar Hijrah Islam berdasarkan kitaran bulan.
Tambahnya, perbezaan antara dua-dua kalendar itu menyaksikan Ramadan jatuh dua kali dalam tahun Gregory, kira-kira setiap 30 tahun.
“Kali terakhir ia berlaku pada 1997 dan sebelum itu pada 1965. Ia berlaku lagi pada 2063. Pada tahun Hijrah 1451 Hijrah, Ramadan bermula pada 5 Januari 2030 dan pada 1452 Hijrah pula jatuh pada 26 Disember 2030,” katanya.
Menurutnya, fakta itu menyaksikan umat Islam berpuasa 36 hari pada 2030.
“Bulan penuh 30 hari untuk 1451 Hijrah dan enam hari untuk 1452 Hijrah. Tahun Hijrah berlangsung 354 atau 355 hari, bermakna ia tidak sejajar dengan kalendar Gregory sebanyak 365 hari.
“Ini bermakna Ramadan jatuh dalam musim berbeza setiap tahun dan berjalan dalam kitaran 32 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, menurut ramalan beliau Ramadan 1449 Hijrah yang bermula pada 2028 akan berlangsung pada pertengahan musim sejuk.
“Pada 1466 Hijrah, bersamaan dengan 2044, bulan suci bermula semasa kemuncak musim panas.
“Puasa Ramadan diperhatikan dari matahari terbit hingga terbenam bermakna tempoh paling lama berpuasa berlaku apabila Ramadan pada musim panas dan paling pendek apabila ia jatuh pada musim sejuk,” katanya.
-AGENSI