KOTA BHARU: Penduduk Islam di Kuala Krai terutamanya di Kampung Guchil 7, yang berbuka awal selepas mendengar laungan azan Maghrib daripada bilal Surau Al-Qadir, wajib mengganti puasa mereka selepas Ramadan berakhir.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata mereka tidak bersalah namun puasa tersebut dikira terbatal disebabkan mereka berbuka awal akibat terkeliru dengan laungan azan Maghrib itu.
“Mungkin bukan semua umat Islam di lokasi itu berbuka awal kerana ada yang sedar dengan kesilapan azan Maghrib dilaungkan lebih awal dari masa yang sepatutnya.
“Bagi yang berbuka awal, ini bukan kesilapan mereka, namun dinasihatkan selepas ini supaya mereka lebih cermat dan berhati-hati dalam soal waktu berbuka puasa serta bersahur,” katanya
Media semalam melaporkan, azan Maghrib yang dilaungkan empat minit lebih awal daripada waktu sepatutnya, oleh bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai, kelmarin.
Imam Masjid Bandar Kuala Krai, Armin Azahari Mamat, berkata bilal itu tidak menyedari yang beliau melaungkan azan Maghrib pada 7.17 malam dan ada penduduk yang berbuka puasa selepas mendengar azan itu.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today